Jumaat, 7 Mei 2010

mari duduk sekejap....kita beriman sejenak

Para da'i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal salih dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia.Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.

Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku. Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan. Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.


Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

إجلس بنا نؤمن ساعة

(Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).
Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya:

تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا

(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).
Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Nasihat-nasihat ini
(siri-siri buku ini) adalah tentang fiqh ad da'wah. Kita menyeru para da'i untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu dan kesungguhannya.


Sisa.... Dan Harapan
Siri-siri buku ini ditulis untuk para du'at; mereka yang menunaikan solat dan merasa bangga megah dengan agama mereka; yang berakhlak dengan akhlak mukminin. Tidak ditujukan kepada yang lalai, lebih-lebih lagi yang menyeleweng.

Ini adalah kerana untuk menyelesaikan permasalahan dunia Islam hari ini, tidak perlu kepada berpindahnya bilangan yang besar dari mereka yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang diperlukan ialah menyedarkan mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan kesungguhan mereka dan memperkenalkan kepada mereka jalan amal dan fiqh da'wah. Masih ramai dari kalangan orang-orang mukmin, bilangan mereka sudah mencukupi untuk menegakkan kebaikan yang kita cita-citakan, tetapi dengan syarat apabila mereka mengenali tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), zuhud terhadap dunia, menjauhkan diri dari fitnah, sabar atas segala mihnah dan memahami seni memimpin ummat.

Oleh sebab itu, siri-siri buku ini tidak akan berbicara dengan orang yang masih mencampur-adukkan antara Islam dan lainnya. Tetapi ia hanya memadai untuk mengajak muslim, yang benar imannya, suci aqidahnya, merasa perit dan sedih dengan realiti ummat muslimin hari ini. Buku ini akan mengajar kepadanya jalan beramal yang berfaedah dan jalan penyelamat, memandunya kepada kewajipan untuk mempertingkatkan tarbiyyah dirinya dalam memenuhi tuntutan perjalanan. Buku ini juga ditujukan kepada para du'at yang sudah mengetahui jalan amal, akan tetapi, mereka masih memerlukan pengukuhan (bantuan), peningkatan usaha dan proses melembutkan hati.

Oleh yang demikian, kami telah mengambil segala pengertian kebaikan sebagaimana yang diisyaratkan oleh Yahya bin Mu'aaz seorang zuhud ketika beliau berkata:

أحسن شئ كلام رقيق يستخرج من بحر عميق على لسان رجل رفيق

(Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, daripada lidah seorang yang lemah-lembut).1
Kamu akan mengetahui betapa kelembutan yang dikendong oleh hati-hati rijal tersebut yang telah menghadiahkan kepada kamu buah hasil pengalaman dan natijah pengamatan mereka. Oleh sebab itu, sebutan (nama) mereka berkekalan dan mendapat perhatian manusia kerana ia mempunyai hubungan dengan alhaq (kebenaran).

Sesuatu perkataan tidak akan kekal di sisi generasi kecuali jika ia berhubung dengan kebenaran dan kebaikan, kerana ia sentiasa mendapat pertolongan daripada makhluk Allah mengikut undang-undangNya (sunnahNya) dan sentiasa diilhamkan kepada hamba-hambaNya.

Berapa banyak kilatan yang dipancarkan oleh raja yang zalim atau berhala yang masyhur mengeluarkan gema seketika, memancarkan cahaya sebentar, kemudian padam dan senyap, seperti bintang yang bertukar menjadi habuk dan debu selepas terbakar. Ditambah lagi bahawa gemanya adalah daripada suara kebatilan, bukan kebenaran dan kilatannya daripada hiasan kebatilan bukannya kebenaran.

Hanya aqal yang faham, hati yang bersih dan orang yang yakin dengan kebenaran apa yang dibawanya sahaja boleh mengucapkan kebenaran yang kekal. Dia mengeluarkan kata-katanya yang menjadi contoh-contoh yang realiti dan keterangan yang kekal di dalam kehidupan. Tidak tertentu untuk satu waktu sahaja, tidak juga perkara tertentu, tidak juga orang tertentu, tidak juga kejadian tertentu, akan tetapi ia mencakupi semua generasi dan setiap ketika, negara dan kawasan.

Kamu akan dapati kehebatan kata-kata berdasarkan kehebatan orang yang berkata, sebagaimana katanya, bahawa ia mahu menjadikan kata-katanya itu sebagai jalan kehidupan manusia dan cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan).2


Syair Menjadikan Perkataan Menarik
Aku mendapati sesetengah buku tarbiyyah harakah Islamiah memisahkan antara prosa dan puisi tanpa alasan yang kukuh. Menjadikan para murabbi (pendidik) tidak dapat menggunakan beratus-ratus rangkap dan petikan puisi yang boleh melembutkan hati atau membangkitkan semangat atau puisi yang berkaitan dengan aqidah dan fikrah yang merupakan hasil karya para pemuisi yang thiqah sama ada yang lama atau moden juga para pemuisi dakwah.

Seseorang berkemungkinan ketika mendengar suatu pengertian, tetapi sedikitpun tidak menyentuh perasaannya, tetapi apabila digubah dalam bentuk rentak puisi tertentu akan menggembirakan orang yang gundah gelana, menggerakkan orang yang lalai dan mendekatkan cita-cita yang dulunya terasa
jauh.3

Sebahagian daripada syair mempunyai hikmah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullah (saw).
(Rentak dalam percakapan seumpama melagukan suara: maksud daripadanya ialah untuk mewujudkan kegembiraan hati dan jiwa yang menyebabkan kegembiraan
fikiran).4

Oleh yang demikian kami lebih cenderung untuk menggunakan puisi dalam siri buku ini, bertujuan untuk menambah gambaran yang baik oleh seseorang da'i terhadap pengertian-pengertian tertentu, supaya mendalam di dalam jiwanya dan memerhati serta mengingatinya sentiasa.

Bukti yang paling jelas tentang kepentingan syair dalam menyebarkan aqidah dan mempertahankannya, ialah peranan yang telah dimainkannya ketika membantu ahli-ahli bid'ah untuk menyebarkan bid'ah di kalangan masyarakat awam. Usaha-usaha ini dilakukan untuk menentang usaha-usaha Ibnu Taimiyyah serta pengikut-pengikutnya ketika mereka berusaha membatalkan segala bid'ah dengan hujjah-hujjah sunnah yang mulia.
(Tidak dapat dinafikan bahawa hujjah lojika yang dibawa oleh Ibnu Taimiyyah telah memberikan kesannya, tetapi kekeringan lojika tidak dapat mengatasi kebasahan dan keindahan syair (puisi) sebagaimana yang dikatakan oleh penyair Islam Muhammad Iqbaal.5

Memang itulah yang berlaku. Pembawa-pembawa kesesatan yang telah menyebarkan bid'ah mereka dengan penerangan yang menarik dan keindahan syair (sastera), telah menarik hati manusia awam tanpa disedari dan inilah juga yang menyebabkan segala kata-kata Ibnu Taimiyyah tidak mendapat tempat. Tambahan pula tidak ada daripada kalangan penyair yang memihak kepada Ibnu Taimiyyah untuk membantunya.

Puisi mempunyai kuasa untuk membantu sesiapa sahaja yang menggunakannya samada untuk tujuan kebaikan atau kejahatan, untuk menolong kebenaran atau kebatilan. Dalam setiap perkara yang berkait dengan fikiran atau pun hakikat kehidupan, kerana jiwa manusia menyukai keindahan, dan syair adalah keindahan seluruhnya, boleh baginya untuk menambah kejelasan kepada hak dan kebenaran dan boleh juga untuk menutup kekurangan dan penyelewengan yang ada pada kebatilan sehingga menjadikannya cantik dan indah. Tiada seorang pun yang dapat melepaskan diri dari tawanan dan pengaruh syair melainkan hati yang dimakmurkan dengan iman secukupnya.
Fenomena ini mendorong aku untuk memasukkan puisi-puisi dalam siri buku buku ini.


Generasi Silam Dan Pengikut
Al Imam Ahmad menjadi ikutan kita dalam menggunakan syair yang melembutkan hati. Dia menghafal sebahagian syair yang kemudiannya ditulis oleh Tha'lab; seorang sasterawan yang masyhur. Murid-muridnya pernah mendengar dia bersyair dan pada hari mehnahnya para penyair telah memujinya. Bahkan dikatakan beliau telah mengucapkan beberapa keratan syair kerana tidak berpuas hati terhadap 'Ali bin al Madiiniy yang tidak sabar bersamanya ketika menghadapi penyiksaan.6

Pernah pula salah seorang muridnya telah berkata: (Wahai Abu 'Abdullah: Apakah pendapat kamu terhadap syair yang mengandungi sebutan syurga dan neraka? Beliau berkata: Seumpama apakah syair itu? Muridnya menjawab: Mereka berkata: (membacakan syair)
Maksudnya:

إذا ما قال لى ربى أما استحييت تعصينى
وتخفى الذنب من خلقى وبالعصيان .. تأتينى

Ketika berkata tuhan kepadaku Tidakkah malu maksiat terhadapku,
Menyembunyikan dosa dari makhlukku Dengan penuh noda
mengadapku?

Lalu beliau berkata: Ulangi sekali lagi.
Berkata muridnya: Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu ia (Imam Ahmad) bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam dan beliau mengulangi syair tadi.7

Dengan penjelasan tentang faedah dan keharusan menggunakan syair ini, aku memetik banyak puisi daripada antoloji penyair terdahulu, kemudian daripada antoloji Waliid al A'zami, Mahmud Aali Ja'far, al Amiiriy, Abdul Wahhaab Azzaam dan lainnya.

Aku juga menambah lagi daripada syair Iqbaal, salah seorang penyair Islam yang agung sebagaimana yang terdapat di dalam antolojinya yang bertajuk (Risalatul Masyriq), (Al Asraar war Rumuuz) dan (Dharbul Kaliim). Inilah kali pertama syairnya memasuki buku peringatan berbahasa Arab selepas diterjemahkan oleh Abdul Wahhaab Azzaam.

Iqbaal adalah seorang penyair yang benar aqidahnya, mendalam pemerhatiannya dan sejahtera pemikirannya. Beliau telah dithiqahkan oleh Abul Hasan 'Ali an Nadawi yang telah membuat satu kajian mengenainya yang dinamakannya sebagai: (Rawaa'i Iqbaal). Beliau juga telah dithiqahkan oleh al Mauduudi di dalam satu makalah penting yang disiarkan oleh al Majallatul Ba'thil Islaamiyyil Hindiyyah. Di dalamnya beliau menerangkan kelebihan Iqbaal dalam memberi arahan kepada generasi yang telah ditawan oleh tamaddun Barat dan menjauhkan mereka daripada kesempitan perkauman juga ketika beliau menegaskan bentuk yang sebenar bagi Daulah Islamiah, sehinggakan al Mauduudi telah menyifatkan bahawa apa yang dilakukan olehnya adalah suatu yang besar dalam lapangan islah (pemulihan) yang mempunyai nilai yang tinggi dan tidak boleh dilupakan oleh sejarah. Beliau juga mampu menyelamatkan generasi muslim yang telah diselaputi dengan berbagai fitnah dan teori yang berbagai.
Lebih dari itu, Iqbaal telah melakukan satu perkara yang amat penting di akhir hayatnya mengikut neraca Islam, iaitu penglibatan beliau dalam membongkar kebatilan al Qaadiaaniyyah dan al Ahmadiyyah serta memberi amaran daripada mendekatinya. Anda akan mendapatinya amat mengingkari terhadap kesesatan wihdatul wujud, bersalahan dengan apa yang difahami oleh setengah golongan tentang sikapnya.


Bersama Fitrah Keindahan
Majaaz8, jinaas9 dan tasybiih10 adalah seperti syair. Seseorang yang mempunyai ransangan sastera mendapati bahawa ucapan yang bersemangat akan lebih berkesan jika dihiasi dengan ilmu-ilmu balaaghah (ilmu bahasa dan sastera Arab) seperti yang disebutkan di atas. Oleh kerana itu aku memetik sebahagiannya dengan menjauhi daripada yang sukar.

(Majaaz, isti'aarah11, kinayah12 dan seumpamanya dari uslub balaaghah, tidak dapat dielak oleh jiwa yang seni, kerana ia sentiasa mahupun sesuatu yang agung, indah dan halus. Mungkin orang yang tidak berjiwa seni menganggap bahawa ini merupakan suatu keberatan dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Hasilnya segala yang dilakukan untuk tujuan itu adalah satu kerja kosong dan tidak berfaedah. Tetapi sifat kesenian yang ada pada jiwa penyair berpendapat bahawa ia menambahkan lagi pengertian yang memberikan kesan yang lebih terhadap jiwa dan perasaan. Oleh itu penambahan dalam bentuk perkataan, pengolahan lafaz dan pengulangan makna tidak lain dan tidak bukan hanya bertujuan untuk memberikan penambahan terhadap jiwa dan perasaan).


Semangat pemuda Islam di permulaan abad baru..
Seterusnya..
Kurun yang lepas telah menyaksikan luka-luka yang memeritkan pada seluruh dunia Islam. Serangan musuh Islam telah sampai ke kemuncaknya. Tetapi sungguhpun begitu, cubaan untuk menanganinya semula telah dilakukan oleh mereka yang mempertahankannya. Walaupun kemenangan belum diperolehi, tapi sekumpulan pemuda Islam telahpun terdidik dan bangkit sedar. Keazaman mereka telah mantap. Ini semua meyakinkan lagi kepada kita bahawa Islam pasti menang dalam kurun ini .. Insya Allah !



# nota kaki #
1 Taarikhul Baghdaad: 14/209
2 As Syawaarid li 'Azzaam: 340
3 Khariidatul Qasr/Bahagian Iraq: 1/202
4 Wahyul qalam - ar Raafi'i: 3/285
5 Kitaan Muhammad Iqbaal - Abdul Wahhaab Azaam: 52
6 Manaaqib Ahmad - Ibnul Jauzi: 205
7 Talbiisu Ibliis - Ibnul Jauzi: 218
8 Majaaz ialah lafaz yang digunakan bukan untuk maknanya yang sebenar kerana terdapat qariinah (penunjuk) yang menegah daripada maknanya yang sebenar.
9 Jinaas ialah persamaan dua perkataan dari segi lafaz tetapi berlainan dari segi makna.
10 Tasybiih ialah keterangan yang menunjukkan bahawa dua perkara atau lebih, mempunyai kesamaan, sama ada dalam satu sifat sahaja atau pun lebih.
11 Isti'aarah ialah tasybiih (perbandingan) yang dibuang salah satu rukunnya (sama ada musyabbah atau pun musyabbahu bihi).
12 Kinaayah ialah lafaz yang disebut tetapi yang dikehendaki daripadanya makna yang berkaitan dengannya, dan dalam waktu yang sama harus juga yang dikehendaki ialah maknanya yang asal.

0 balasan:

Catat Ulasan